Quote

"... from personal experience that when the people we love make choices, we don't always understand them. But we can go on loving them, just the same. It isn't a matter of comprehension. It's forgiveness."
Jodi Picoult - Vanishing Acts

Thursday, February 23, 2006

Edisi Utara: 'Saya tak sempat habis belajar'

Edisi Utara: 'Saya tak sempat habis belajar'


GEORGETOWN: “Saya mungkin tidak sempat habiskan study (pengajian),” begitulah luahan terakhir Allahyarham Maryam Mohd Noh, 24, sebelum meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, kelmarin.

Mangsa pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda jurusan Seni Bina, Universiti Sains Malaysia (USM) mengungkapkan kata-kata itu kepada rakan sekuliahnya, Ayuni Saad, 26, minggu lalu.

Ayuni berkata, arwah sebenarnya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini tetapi sejak kebelakangan, dia terlalu rajin menyiapkan segala tugasan dengan penuh bersemangat dan ceria.

Menurutnya, arwah juga seorang yang bersikap ‘happy go lucky’ dan suka bergurau malah mereka berlima sahaja pelajar perempuan Melayu yang mengikuti kelas seni bina di USM.

Katanya, Allahyarham mempunyai sifat yang disenangi semua rakan sekuliah malah dia juga tidak menunjukkan perubahan pelik kerana sentiasa ceria pada setiap hari.

“Kehilangan arwah cukup dirasai kerana dulu kami berlima kini tinggal berempat dan kata-kata tidak sempat menghabiskan pengajian pada minggu lalu amat mengejutkan kerana akhirnya menjadi kenyataan.

“Sebagai kawan rapat, saya berdoa agar arwah ditempatkan dalam golongan orang yang beriman dan menghalalkan segala makan dan minum selama ini,” katanya ketika dihubungi menerusi telefon bimbit, semalam.

Dalam kejadian itu, Maryam yang juga anak kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin maut selepas motosikal yang ditunggangi terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan patah tangan kiri dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang di dalam kampus USM.

Semalam, 40 rakan kuliah arwah bersama-sama berlepas ke Kajang, Selangor dari USM kira-kira jam 9.30 pagi untuk menghadiri pengebumian Allahyarham.

Rakan arwah, Rahina Jopri, 26, berkata kehilangan Maryam tidak dapat dicari ganti kerana mempunyai sikap bertimbang rasa dan mudah mesra dengan semua rakan sekuliah baik lelaki dan perempuan.

Menurutnya, kenangan makan dan minum bersama malah tidur bersama-sama dalam studio tetap menjadi kenangan abadi hingga akhir hayatnya sejak mengenali arwah kira-kira lebih setahun lalu.

Katanya, hubungannya dengan arwah amat rapat dan Allahyarham Maryam suka membantu rakan lain membuat tugasan tugasan bersama-sama yang menjadi noktah akhir dengannya.

“Kehilangan Allahyarham cukup dirasai kerana kami memang rapat hingga tidak ada orang lain boleh memisahkan dan dia (arwah) juga seorang yang baik dan kelakar,” katanya.

Jenazah arwah selamat dikembumikan di tanah perkuburan Islam di Kajang, Selangor kira-kira jam 1 tengah hari selepas solat Zuhur dengan dihadiri sahabat handai, kedua ibu bapa arwah, Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin dan isteri, Profesor Datin Dr Mariati Mohamad.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments: